Wednesday, 1 February 2017

CIRI-CIRI BILIK DARJAH PADA MASA HADAPAN

            Perkembangan pendidikan negara telah melalui berbagai perubahan sehingga kini. Pembelajaran abad ke 21 merupakan pendekatan terkini dalam bidang pendidikan. Sejajar dengan perkembangan ini, sesebuah bilik darjah perlu diubahsuai bagi mematuhi kehendak pembelajaran abad ke 21. Bilik darjah masa hadapan perlu mempunyai beberapa ciri agar pengajaran dan pembelajaran abad ke 21 dapat dilaksanakan dengan berkesan. Pada pendapat saya ciri-ciri bilik darjah di masa hadapan ialah:
Papan putih di dalam kelas berbentuk kaca yang boleh diprogramkan.
Papan putih di dalam kelas berbentuk kaca seperti skrin komputer yang boleh diprogramkan  memudahkan guru kerana tidak lagi perlu menulis di hadapan semasa mengajar murid. Sebaliknya guru hanya perlu menekan skrin dan memaparkan topik pembelajaran yang akan diajar kepada kanak-kanak. Kaca atau skrin yang yang berfungsi sebagai papan putih di dalam kelas menggunakan tenaga elektrik. Contohnya seperti yang terdapat dalam rajah 1.

Rajah 1. Kaca atau skrin yang berfungsi sebagai papan putih.
Buku teks yang berbentuk tablet.
Buku teks di masa hadapan tidak lagi menggunakan kertas tetapi berbentuk tablet. Dalam satu tablet terdapat semua subjek dan murid hanya perlu mencari dan menekan skrin tablet untuk mencari subjek yang mereka pelajari. Oleh itu, murid tidak perlu membawa buku teks yang berbentuk kertas seperti pada masa kini. Teknologi buku teks yang berbentuk tablet pada masa hadapan akan memudahkan murid apabila mereka belajar. Contohnya dalam rajah 2.

Rajah 2. Buku teks yang berbentuk tablet.
Pembelajaran 'hands-on' dan kolaboratif.
      Bilik darjah pada masa hadapan haruslah mempunyai ruang pembelajaran 'hands-on' yang khas agar kanak-kanak dapat meneroka dan meningkatkan lebih lagi imaginasi mereka. Dalam masa yang sama kanak-kanak akan dapat memperkembangkan lagi kreativiti mereka semasa belajar. Ruang khas untuk pembelajaran ‘hands-on’ ini mempunyai peralatan yang khas seperti meja yang berbentuk kaca dan berfungsi seperti komputer. Kolaboratif dalam kalangan murid juga dapat dipupuk semasa pembelajaran ‘hands-on’. Contoh meja yang berfungsi sebagai pembelajaran ‘hands-on’ seperti dalam rajah 3. Dalam rajah 3 murid belajar menggabungkan warna hanya dngan menekan pada skrin meja sahaja.


Rajah 3. Ruang pembelajaran 'hands-on' dan kolaboratif.

Susun atur dalam bilik darjah disusun mengikut perkembangan teknologi.
Susun atur dalam bilik darjah mengikut arus perkembangan teknologi. Semua bahan bantu mengajar di dalam bilik darjah berasaskan teknologi yang canggih.  Bukan itu sahaja, media yang canggih dan pelbagai disusun secara strategik yang dapat membantu murid meneroka secara bebas dan bekerjasama antara satu sama lain. Contoh susun atur dalam kelas di masa hadapan seperti dalam rajah 4.

 
Rajah 4. Susun atur bilik darjah pada masa hadapan.

         Kesimpulanya, bilik darjah pada masa hadapan haruslah berasaskan teknologi yang canggih mengikut peredaran masa. Hal ini kerana, bilik darjah yang berasaskan teknologi dan mempunyai media yang pelbagai akan dapat membantu perkembangan murid tidak kira dari segi emosi,kognitif, social dan fizikal. Di samping itu, bilik darjah yang serba guna di masa hadapan akan banyak membantu atau memudahkan guru untuk menjalakan sesi pengajaran dan pembelajaran. Suasana bilik darjah serta bahan-bahan yang digunakan oleh murid yang berasaskan teknologi yang canggih akan dapat meningkatkan kualiti dan pengalaman pembelajaran mereka.

Sekian, 

Terima kasih.






 




KELEBIHAN PENGGUNAAN KOMPUTER DI TADIKA


 NAMA: FRISKALIN MANSHIL
NO MATRIK:201405063

SUBJEK: INSTRUCTIONAL TECHNOLOGY DEVELOPMENT IN EARLY CHILDHOOD

KOD SUBJEK: KID 530

BIDANG PENGAJIAN:DIPLOMA PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

CITA-CITA:GURU



PENGENALAN
         Perkataan komputer ini berasal dari bahasa Latin  iaitu “computare” yang bermaksud menghitung. Menurut Robert H. Blissmer (1995), komputer adalah suatu alat elektronik yang mampu  melakukan beberapa tugas dengan sekaligus seperti menerima input,memproses input,menyimpan perintah-perintah dan menyediakan output dalam bentuk maklumat. Menurut Mohktar (2002) komputer merupakan sebuah alat yang boleh memindah, memproses dan memanipulasikan maklumat sesuatu data secara serentak dan mengikut segala arahan. Namun demikian, menurut beliau komputer tidak dapat memahami data yang diproses.   Charles Babbage( 1791-1871 ) yang dikenali sebagai bapa komputer merupakan orang yang pertama yang telah memperkenalkan prinsip awal komputer digital yang menggunakan program. Profesor Babbage,seorang ahli matematik telah membuat satu mesin yang boleh mengira serta menyimpan program serta dapat mencetak maklumat. Mesin tersebut disebut sebagai mesin Diferensial. Mesin Diferensial merupakan mesin yang dicipta pada genarasi pertama dan mesin itu dimajukan sehingga ke hari ini.


Rajah 1. Komputer dari genarasi pertama sehingga kelima.

         Komputer  mula digunakan di Malaysia pada tahun 1965 apabila Lembaga Letrik Negara menggunakan komputer untuk memproses gaji kakitangan dan juga akaun syarikat. Namun komputer tidak mendapat sambutan baik pada ketika itu kerana kos komputer yang tinggi dan kekurangan tenaga mahir dan berpengalaman dalam bidang tersebut. Pembangunan pesat negara sejak tahun 60an bukan saja membawa kehidupan yang lebih moden tetapi juga turut menyumbang kepada kesedaran tentang kepentingan komputer dalam kalangan masyarakat Malaysia. Kesedaran ini telah membawa perubahan  positif yang agak ketara. Komputer bukan sahaja digunakan oleh agensi kerajaan dan swasta tetapi juga individu dalam semua bidang. Masyarakat Malaysia kini merupakan pengguna komputer keempat terbesar di Asia. Perubahan paling ketara berlaku dalam sistem pendidikan di Malaysia di mana Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memperluaskan teknologi ini sehingga peringkat pendidikan awal kanak-kanak. Penggunaan komputer dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak memang tepat pada masanya kerana ia memberi banyak faedah kepada semua pihak terutamanya guru dan kanak-kanak.


KELEBIHAN PENGGUNAAN KOMPUTER DI TADIKA

1.Mewujudkan suasana  yang menyeronokkan dalam kelas.
Penggunaan komputer dalam kelas akan mewujudkan suasana yang amat menyeronokkan kepada kanak-kanak. Hal ini kerana, multimedia yang terdapat dalam komputer dapat menarik minat kanak-kanak untuk belajar. Penggunaan video, animasi serta gambar bukan sahaja dapat menarik pehatian kanak-kanak tetapi juga akan melibatkan mereka secara aktif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Contohnya, penggunaan komputer terbukti merangsang sifat ingin tahu kanak-kanak  semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Menurut  Bergen (2001) guru boleh menggunakan ‘freeware’ yang sesuai dengan perkembangan kanak-kanak untuk melengkapi aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam prasekolah dan menjadikan pengalaman belajar kanak-kanak prasekolah lebih seronok dan bermakna.
2. Meningkatkan kreativiti,imaginasi dan sifat ingin tahu kanak-kanak.
Apabila kanak-kanak di tadika belajar menggunakan komputer di dalam kelas, kreativiti dan imaginasi mereka dipertingkatkan secara tidak langsung. Hal ini kerana, penggunaan komputer menarik minat kanak-kanak untuk belajar lebih mendalam lagi tentang sesuatu topik yang diajar oleh guru. Contohnya, guru mengajar mata pelajaran sains yang berkaitan dengan hidupan liar dengan menggunakan komputer. Berdasarkan topik yang diajar, kanak-kanak akan terdorong untuk mengetahui lebih mendalam tentang tentang hidupan liar. Hal ini kerana, kreativiti ,imaginasi dan sifat ingin tahu kanak-kanak teransang apabila guru menggunakan video dan animasi komputer sebagai bahan bantu mengajar.

3.Memudahkan guru menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran.
Komputer yang digunakan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran akan memudahkan guru mengajar. Hal ini kerana, dengan adanya komputer guru dapat mengajar dengan mudah, ringkas dan padat. Contohnya, guru cuma perlu menunjukkan video, gambar atau animasi tentang sesuatu topik kepada murid sebagai bahan bantu mengajar dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Video, powerpoint, visual atau animasi yang digunakan oleh guru bukan sahaja dapat mengekalkan perhatian dan minat kanak-kanak terhadap topik yang diajar malah juga membantu guru menjelaskan dengan mudah tentang topik yang diajar. Guru juga mudah untuk mendapatkan maklumat tentang sesuatu topik pembelajaran dengan adanya  penggunaan komputer dalam kelas.  Contohnya, apabila guru memerlukan maklumat tentang sesuatu topik dengan kadar segera, guru hanya perlu mencari maklumat tersebut dari laman web yang berkaitan. Maklumat tersebut diperolehi dengan cepat dan efisen tanpa meluangkan masa yang lama. Perkara ini disokong oleh  Zarina Abd Malek, (2004) yang menyatakan bahawa teknologi dapat mempermudahkan tugas serta meningkatkan prestasi guru seperti penggunaan teknologi untuk kerja-kerja pengurusan dan kerja-kerja pengajaran pembelajaran.
4. Menarik minat kanak-kanak.
Setiap media yang digunakan di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran menarik minat kanak-kanak terutamanya penggunaan komputer. Hal ini kerana, gambaran  dan persembahan pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan di dalam kelas akan kelihatan lebih jelas dan menarik. Contohnya, guru dapat menggunakan video atau visual semasa mengajar tentang makanan yang seimbang kepada kanak-kanak. Kanak-kanak akan tertarik dengan video atau visual yang digunakan di mana ini memberi pemahaman yang lebih jelas kepada mereka. Perkara ini terbukti oleh satu kajian (Kosmo Online, April 14, 2010) yang berjaya membuktikan bahawa penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran membolehkan pembelajaran interaktif, lebih berkesan, merangsang minda dan menarik minat kanak-kanak.
5. Kanak-kanak mudah ingat dan faham.
Apabila guru menggunakan komputer dalam sesi pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak mudah ingat dan faham tentang sesuatu topik pembelajaran yang mereka pelajari. Teknik dan cara penyampaian menggunakan komputer dalam kalangan kanak-kanak adalah lebih ringkas dan mudah difahami.Contohnya, kanak-kanak akan lebih mudah faham topik yang diajar oleh guru dengan menggunakan komputer berbanding dari guru hanya menggunakan buku untuk mengajar kerana komputer dapat memberi penjelasan visual yang lebih mudah dan jelas. Menurut Siti Fadzilah Mat Noor dan Shereena Mohd Arif, (2002) Teori Kognitif menyatakan bahawa pembelajaran menjadi lebih mudah melalui pengamatan dan pengecaman objek-objek (visual, bunyi dan lain-lain) , berbanding pembelajaran cara lama yang bergantung kepada pembacaan bahan bertulis semata-mata seperti buku amnya.

KESIMPULAN
            Sebagai kesimpulannya, komputer  memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pendidikan di negara termasuk dalam pendidikan  awal kanak-kanak seperti taska, tadika ataupun prasekolah. Perkara ini disokong oleh (Haugland & Wright, 1997)  yang menyatakan bahawa teknologi memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran ( PdP) kanak-kanak. Dengan wujudnya komputer ataupun multimedia dalam sistem pembelajaran, ini dapat membantu murid untuk lebih mudah memahami dan mengingat setiap perkara yang diajar oleh guru mereka di samping dapat menarik minat mereka untuk terus mengikuti proses pembelajaran. Bukan  itu sahaja, apabila guru menggunakan teknologi seperti komputer akan dapat meransang kreativiti, imaginasi dan sifat igin tahu kanak-kanak dengan lebih lagi. Seterusnya,  akan memudahkan guru mengajar kerana maklumat akan dapat diperoleh dengan cepat dan efisen serta bahan pembelajaran mudah disediakan.
            Selain itu, murid akan tertarik dengan dengan powerpoint, flash, video dan visual yang ditunjukkan oleh guru melalui komputer. Dalam hal ini, kanak-kanak akan lebih bersemangat untuk belajar kerana mempunyai suasana sesi pembelajaran yang menarik dan tidak membosankan. Di samping itu, gambaran dan persembahan yang menarik dapat mendorong kanak-kanak untuk fokus atau menumpukan perhatian mereka sepenuhnya semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Penggunaan komputer di tadika ini juga membolehkan kanak-kanak lebih mudah ingat dan faham apa yang mereka pelajari. Oleh yang demikian, sebagai seorang guru haruslah menggunakan komputer semasa mengajar agar dapat mempelbagaikan pengalaman belajar kanak-kanak. Dalam masa yang sama, akan dapat membantu perkembangan kanak-kanak sehingga dapat melahirkan generasi yang berkualiti serta serba boleh.



Sekian,

Terima kasih.